Konsep ejaan dan mengeja perlu mendapat perhatian istimewa guru bahasa
Melayu yang mengajarkan bacaan permulaan. Semua pelajar tahun pertama
Institut Pendidikan Guru (IPG) dikehendaki memahami kedua-dua konsep ini
apabila mereka mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu pada semester
kedua. Seterusnya, pelajar IPG yang mengikuti program Prasekolah,
Pengajian Bahasa Melayu dan Pemulihan Khas mesti mendalami kedua-dua
konsep ini.
Guru prasekolah, guru bahasa Melayu dan guru
pemulihan pula perlu menyemak pemahaman mereka tentang perkara ini. Yang
dimaksudkan dengan guru pemulihan termasuklah guru pemulihan khas, guru
pemulihan dalam bilik darjah, guru Literacy and Numeracy Screening
(LINUS) dan beberapa nama lain yang mungkin muncul pada masa hadapan.
Pemahaman yang jelas tentang kedua-dua konsep ini dapat membantu mereka
melaksanakan tugas untuk mengajarkan bacaan permulaan kepada kanak-kanak
dengan berkesan.
Ejaan ialah kaedah menulis perkataan dengan huruf. Kaedah menulis
perkataan dengan huruf yang dapat dianggap menyeluruh apabila memenuhi
tiga syarat seperti yang digambarkan dalam rajah 1.
Rajah 1 Tiga syarat untuk mengeja perkataan.
Syarat pertama, wujud sistem susunan huruf yang diterima untuk sesuatu
perkataan. Contohnya, perkataan “batu” terdiri daripada susunan empat
huruf secara berturutan, iaitu “b – a – t – u”. Susunan lain, termasuk
beberapa susunan yang bermakna seperti “b – u – t – a” dan “u – b – a –
t”, tidak diterima untuk ejaan “batu”.
Syarat kedua, setiap huruf tidak diselangi oleh sebarang ruang yang
dapat diisi oleh satu huruf. Contohnya, perkataan “bubu” ini tidak
diselangi oleh sebarang ruang. Sebaliknya, “bu bu” (ada satu ruang
kosong) dan “bu b u” (dua ruang kosong) tidak diterima untuk perkataan
“bubu”. Malah kewujudan satu atau lebih ruang yang sekata juga tidak
diterima untuk mengeja sesuatu perkataan walaupun susunannya betul.
Contohnya “b u b u” (satu ruang) dan “b u b u” (dua ruang).
Peraturan lazim pengiraan perkataan ialah setiap unit bahasa yang
dipisahkan oleh ruang dianggap satu perkataan. Misalnya, “ke sana” ialah
dua patah perkataan. Peraturan ini digunakan juga oleh perisian
komputer seperti Microsoft Word untuk mengira perkataan. Apabila ada
ruang, turunlah taraf perkataan itu menjadi huruf sahaja.
Syarat ketiga, penulisan huruf itu mematuhi sistem penggunaan huruf
kecil dan huruf besar. Syarat ini menuntut pengguna bahasa menggunakan
huruf kecil dan huruf besar berdasarkan peraturan. Buku Pedoman Umum
Ejaan Bahasa Melayu menyenaraikan 14 peraturan penggunaan huruf besar.
Secara umum, huruf besar digunakan pada huruf pertama nama khas,
permulaan ayat, petikan langsung, tajuk sesuatu, kecuali kata hubung dan
partikel. Sebagai contoh, ejaan “malaysia” tidak tepat kerana huruf “m”
yang digunakan ialah huruf kecil sedangkan huruf yang sepatutnya
digunakan ialah “M” huruf besar kerana perkataan ini nama khas tanpa
mengira kedudukannya sama ada pada permulaan ayat atau tidak.
Dengan berdasarkan syarat yang ketiga ini juga, gabungan seperti
“ciNta”, “ciNTa”, “CInTa” tidak tepat ejaannya. Ejaan seperti ini kerap
kita temukan dalam komunikasi e-mel, sistem pesanan ringkas dan
komunikasi umum sesama remaja. Ejaan seperti ini tidak diterima sebagai
ejaan yang tepat untuk diajarkan di sekolah. Malah ejaan seperti ini
dapat dianggap pincang.
Adakalanya penggunaan huruf kecil keseluruhannya dibolehkan. Contohnya,
bahagian awal bahan pengajaran bacaan asas di sekolah rendah menggunakan
huruf kecil sahaja.
Sesudah memahami konsep ejaan, kini marilah kita fahami konsep mengeja
pula. Menurut Za‘ba, mengeja ialah “pekerjaan menghubungkan huruf benar
dengan huruf saksi atau sebaliknya ini serta disebut nama tiap-tiap
huruf itu”. Kita juga boleh mengatakan bahawa mengeja ialah perbuatan
membunyikan atau menulis huruf secara berturut dalam sesuatu perkataan.
Dengan berdasar takrif ini ada dua cara untuk mengeja. Yang pertama
ialah menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada
sesuatu suku kata/perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu.
Yang kedua ialah menulis huruf dengan mematuhi tiga syarat seperti yang
telah dibincangkan untuk membentuk suku kata/perkataan.
Ada dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan. Yang
pertama ialah menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan
seterusnya penyebutan perkataan. Contohnya, “bola” dieja “b” “o”,
diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf
“l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut
perkataan “bola”. Gambaran ringkasnya ialah huruf g suku kata g
perkataan. Yang kedua ialah menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi
satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata dalam perkataan itu.
Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. Gambaran ringkasnya ialah huruf g
perkataan. Gambaran lengkap kedua-dua cara mengeja ini diberikan dalam
rajah 2.
Rajah 2 Dua cara untuk mengeja perkataan.
Dengan berdasarkan kaedah abjad, pengeja menyebut nama huruf. Bagi
mengeja dengan abjad Rumi, cara yang pertama kerap digunakan. Pengguna
kaedah abjad menganggap cara yang kedua tidak lengkap. Bagaimanapun,
pengguna kaedah abjad mungkin juga menggunakan cara yang kedua atas
pertimbangan tertentu.
Mengeja ialah satu kemahiran. Kemahiran ini lebih mudah diperoleh
jikalau kanak-kanak mengalami beberapa aktiviti kesediaan. Antaranya
ialah mengenal bentuk, terutamanya bentuk yang seakan-akan huruf.
Contohnya, bentuk tayar bulat macam huruf “o”. Bentuk pancing pula
seakan-akan huruf “j”. Seterusnya mereka wajar mengalami aktiviti
lanjutan seperti mengenal bunyi, membezakan bunyi dan membezakan antara
satu bentuk dengan bentuk yang lain. Kemudian barulah kita mendedahkan
nama huruf kepada mereka.
Dengan berdasarkan kaedah abjad, penghafalan nama huruf ialah “garis
permulaan” kemahiran mengeja. Kemahiran mengeja hanya bermula apabila
kanak-kanak dapat menyebut nama huruf dan dapat membentuk apa-apa suku
kata atau perkataan dengan huruf-huruf yang disebut itu.
Kesimpulannya, pengajar bacaan permulaan akan lebih yakin melaksanakan
tugasnya apabila dia memahami konsep ejaan dan mengeja. Pemahaman itu
akan membantunya memilih bahan, kaedah dan teknik yang sesuai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment