Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan.
Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang
diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu
berterusan hingga tahun 1970.
Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan
untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM
menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang
pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan
Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas
pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran
pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.
Selain itu, pada tahun 1972 hingga 1981, KPM melaksanakan Projek
Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah rendah. Projek itu bertujuan
mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran pemulihan murid-murid
tahun satu hingga tahun tiga.
Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
memperakukan supaya sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan
berdasarkan dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan
penambahbaikan. Tindakan itu termasuklah penggunaan kaedah dan sumber
pengajaran yang sesuai dalam kelas yang lebih kecil. KPM pula perlu
menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran pemulihan.
Mulai tahun 1980, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan
perakuan yang berkenaan. KBSR mengetengahkan konsep 5P, iaitu
penggabungjalinan, penyerapan, penilaian berterusan, pemulihan dan
pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan merupakan satu
daripada unsur istimewa KBSR.
Mulai tahun 1986, KPM mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru khas pemulihan
agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan
itu membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap
yang tidak memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya
menyediakan guru khas pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah
rendah.
Pada tahun 1987, hanya terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan
berbanding dengan 6,700 buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada
jumlah itu, kerajaan hanya mampu mewujudkan 2,233 jawatan guru khas
pemulihan.
Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf
selepas enam bulan murid berada dalam tahun satu. Tinjauan itu
menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum celik huruf. Jumlah ini
bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu sumber lain
(KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid
sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka
gagal menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira).
Mulai tahun 1998, program pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara
tindakan KPM ialah melatih guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan
pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu mengendalikan pemulihan berat.
Selain itu, pada bulan November 1998, KPM memulakan usaha untuk
menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan program pemulihan khas. Buku
itu terbit pada tahun 1999. Buku itu menjadi sumber penting GPK dan
guru Bahasa Melayu.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun
2005 sebanyak 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar
sekolah menengah masih belum menguasai 3M. Peratusan ini termasuk juga
pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Jadi, mulai tahun 2006 KPM
menambah baik program yang sedia ada dan melaksanakan program baharu
bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai 3M.
Program terpenting ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis
(KIA2M). Program ini bertujuan untuk membantu murid tahun satu menguasai
kemahiran membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru
Bahasa Melayu.
Usaha lain ialah menambah guru pemulihan khas melalui program Kursus
Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru sekolah
kurang murid dan beberapa kursus jangka pendek yang lain.
Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan
berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum
menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Data yang di bawah pula
menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*
Jadi, bermula pada tahun 2010 Program Literacy and Numeracy Screening
(LINUS) menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis
(KIA2M). LINUS berkaitan pula dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR). Minister Key Performance Indicators (MPKI) Kementerian
Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan
untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti
pendidikan rendah menjelang 2012.
Bibliografi Terpilih
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982. Buku Panduan Khas Program Pemulihan KBSR (Edisi Percubaan). Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999. Buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas.
Koh Boh Boon, 1981a. Pendidikan Imbuhan, Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Boh Boon, 1981b. Pengajaran Pemulihan dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan.
Robiah Kulop Hamzah, 1992. Guru Khas Pemulihan: Fungsi dan Masalah, Satu Kajian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Friday, 16 November 2012
Guru Pemulihan di bawah NKRA Pendidikan - LINUS
Antara kandungan Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 24 Tahun 2012 bertarikh 3 Julai 2012
8) Dengan berkuatkuasanya surat siaran ini, maka surat siaran KPM.BPKHAS.300-2/212 bertarikh 4 Ogos 2010, Peranan Guru Pemulihan Khas Dalam Pelaksanaan Program LINUS adalah terbatal.
1) Makmal NKRA
Pendidikan telah mencadangkan supaya dibuat penambahbaikan terhadap
nisbah guru pemulihan di sekolah-sekolah, daripada seorang guru
pemulihan di setiap sekolah kepada guru pemulihan bagi 15 orang murid
yang tidak menguasai asas literasi dan numerasi. Dalam hal ini,
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Januari 2012 telah bersetuju supaya
semua cadangan Makmal NKRA Pendidikan dilaksanakan.
2) Murid tahap 1 yang tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang tidak melepasi konstruk 12 bagi literasi dan numerasi.
3) Murid tahap 2 yang
tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang masih tidak
boleh membaca, menulis dan mengira berdasarkan ketetapan yang diguna
pakai sebelum LINUS dilaksanakan.
4) Penempatan guru pemulihan di semua sekolah adalah menggunakan nisbah seorang guru pemulihan kepada 15 orang murid yang masih tidak menguasai literasi atau numerasi termasuk murid tahap 2 (sekiranya ada).
5) Sekiranya sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi kurang daripada 15 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan sahaja.
6) Jika sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi melebihi 15 orang tetapi kurang 30 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan. Namun sekiranya genap 30 orang murid, maka sekolah tersebut layak menerima 2 orang guru pemulihan.
7) Semua JPN, PPD dan sekolah hendaklah memastikan bahawa semua guru yang dilantik sebagai guru pemulihan mempunyai opsyen pemulihan atau sekurang-kurangnya telah mengikuti latihan untuk mengajar kelas pemulihan.
Subscribe to:
Posts (Atom)

